Sahabat, Allah Sayang Kamu Semua!


Hari-hari saya kini amat bermakna.

Alhamdulillah, Allah telah aturkan hidup insan yang lemah ini untuk menemui individu-individu yang luar biasa. Jutawan, aktivis, pendidik, motivator, penasihat dan lain-lain. Mereka memberi kesan yang hebat dalam hidup dan jiwa saya. Sesungguhnya ramai orang di luar sana yang berhati mulia. Muslim atau bukan muslim. Mereka manusia yang banyak mengubah hidup saya daripada seorang yang mementingkan diri sendiri kepada seorang yang berbeza.

Entah bila saya akan mati dan saya tidak mahu mati saya adalah sia-sia. Biarlah saya meninggalkan dunia dengan meninggalkan suatu legasi yang dapat merobah dunia. Biarlah apa orang kata, ‘I don’t care’. Saya percaya saya boleh dan Allah akan sentiasa membantu saya. Mengapa saya perlu takut?

Pertemuan saya dengan seorang pendidik semalam amat-amat menusuk jiwa. Seorang pendidik yang peka dengan alamnya dan cakna dengan masyarakat sekelilingnya. Bayangkan, kesemua duitnya di-infaq-kan untuk mereka yang memerlukan; orang miskin, anak yatim dan seumpanya. Dan itulah kebahagian yang dicari olehnya!

Alhamdulillah, sempat saya memohon cikgu tersebut mendoakan saya supaya ditemukan Allah isteri yang solehah. Ya, saya sangat sibuk dengan kehidupan seharian sehingga saya tidak sempat nak bermain SMS dengan seorang wanita cantik yang belum sah menjadi teman hidup saya. Dan saya bahagia dengan pilihan itu!



Saya terharu dengan kata-kata dan SMS cikgu yang saya ziarahi semalam, menurutnya:

“Allah malu dengan orang-orang muda seperti kamu. Seperti sahabat-sahabat Nabi SAW yang berjuang bersama Baginda. Allah suka orang muda yang berjuang ke jalan-Nya. ‘Go for it’. Makcik sokong dan tolong.”

Meremang bulu roma saya mendengar kata-kata semangat dari seorang pejuang dan pencinta amal kebajikan. Moga Allah berikan saya kekuatan yang berpanjangan, ameen.

Kadangkala diri merasa letih dengan segala kerja yang dibuat tetapi hati kecil saya selalu melawan dan mengatakan bahawa:

“Im, ini sesuatu yang kecil yang kamu dapat sumbangkan kepada ummah. Biarlah dirimu letih kerana perkara sebegini daripada kamu letih dan penat melakukan maksiat. Apa sahaja yang dapat kamu sumbangkan sebagai tanda cintaMu kepada Allah..? Ilmu kamu sedikit tetapi manfaatkanlah semuanya untuk ummah..Bukan untuk dirimu sendiri..”

Kebanyakan krew iLuvislam.com adalah golongan muda; golongan yang masih banyak tenaga. Maka, sedarlah krew yang saya sayangi bahawa Allah amat sayang kamu semua. Saya tak mampu berikan kasih sayang yang adil sebagai seorang ketua, tetapi percayalah, Allah sentiasa menyayangi kamu semua!

Terus lakukan yang terbaik untuk ummah melalui medium yang kita berikan komitmen ini.

May Allah rewards you Jannatul Firdaus.

Together WE make history for OUR ummah.

by : Im koyube

Comments

Popular Posts